Beza jika lelaki Cemburu dengan Wanita Cemburu.. Lihat gambar di bawah..
Mari kita lihat bagaimana Islam memandu sifat cemburu terutama dalam hubungan kekeluargaan..
Ketika Nabi Muhamad S.A.W diutus kepada umat manusia, Baginda mengisytiharkan bahawa perutusannya adalah untuk melengkapkan akhlak yang mulia. Baginda juga menghapuskan perilaku-perilaku hina dan meluruskan apa yang perlu diluruskan. Di antara sifat yang mendapat perhatian Baginda dalam membetulkan masyarakat Jahiliyah di tanah Arab ketika itu ialah sifat "cemburu" yang melampau. Sifat cemburu yang dimiliki oleh lelaki Arab Jahiliyyah terhadap kaum wanita berlaku sehingga mereka sanggup menguburkan anak puterinya hidup-hidup kerana khuatir nanti ia akan berbuat sesuatu perkara yang memalukan.
Keretakan rumah tangga juga banyak berlaku disebabkan perasaan cemburu keterlaluan, kerana cemburu masalah kecil diperbesarkan sedangkan masalah itu boleh diselesaikan dengan berbincang antara satu sama lain. Kecemburuan yang melampau seperti ini diharamkan oleh Allah Taala, tetapi dalam masa yang sama Allah turut melestarikan sifat cemburu dengan menjadikannya sebagai sebahagian dari cabang iman.
Tidak dapat dinafikan perasaan cinta menyebabkan wujudnya perasaan cemburu sebagai ujian dari Allah Taala kepada manusia. Sifat cemburu dianugerahkan daripada Allah sebagaimana orang yang memiliki harta melimpah ruah, dia pasti akan diberi oleh Allah perasaan takut jika hartanya dikebas orang. Itulah cara Allah mendidik hambaNya agar mengakui bahawa setiap kenikmatan di dunia ini tidak kekal seperti mana kenikmatan di akhirat. Oleh kerana itu, suami mahupun isteri mestilah bersikap adil dalam mengaplikasikan sifat cemburu yang terarah menurut panduan Al Quran dan As Sunnah. Kerana, boleh jadi sikap cemburu yang keterlaluan mengakibatkan putus hubungan, putus persahabatan, putus pertunangan dan tidak kurang juga berlaku perceraian. Malah ada juga kisah cemburu yang menjadi motif kepada kes-kes jenayah seperti pembunuhan, khianat, simbah asid dan sebagainya.
Nabi Daud A.S pernah berpesan kepada anaknya Sulaiman A.S, "Wahai anakku, jangan terlalu banyak cemburu kepada isterimu, jangan kamu lihat yang buruk-buruk sahaja. Ini kerana, sifat yang keterlaluan itu akan menyebabkan isterimu menjadi mangsa tuduhan yang melampau padahal dia bersih dari tuduhan tersebut" - Sunan Al Baihaqi 1/499
Sifat cemburu yang berlebihan menyebabkan pasangan suami isteri saling bersangka buruk sesama sendiri dan hubungan kian menjadi retak. Cemburu yang timbul berasaskan perasaan ragu dan sangsi seperti ini dikatakan "cemburu buta". Cemburu seperti inilah yang akan membuka pintu kemungkinan berlakunya kesalahan dan kemurkaan Allah Taala. Iaitu apabila sesuatu yang dicemburukan diyakini benar berlaku walaupun tanpa selidik dan usul periksa. Cemburu seperti ini boleh meracuni perhubungan dan pergaulan ketika mengharungi bahtera kehidupan.
Namun, tanpa cemburu juga merbahaya. Melalui cemburu, seseorang menunjukkan sikap ingin mempertahankan sesuatu seutuhnya, dijaga sepenuh pengawasannya. Tanpa cemburu juga maka tiada siapa yang akan ambil peduli dan terpanggil untuk rasa bertanggungjawab membaiki keadaan. Sebarang kebiasaan tabiat buruk dan keterlanjuran akan mudah membarah menjadi gejala tidak sihat apabila tiada sesiapa yang peka dan sensitif dengan kecemburuannya. Kita khuatir tanpa sifat cemburu atau kononnya mahu digelar "sporting", ia nantinya melahirkan masyarakat yang sesat barat, sehingga seseorang itu tega membiarkan lelaki lain berjalan-jalan bersama isterinya, membiarkan pergaulan adik perempuannya tanpa kawalan. Oleh kerana itu, sifat cemburu menjadi satu elemen yang diperlukan bagi memastikan keutuhan rumah tangga, asalkan neraca yang menjadi asas kecemburuan itu selari dengan kehendak Allah Taala.
Jika perasaan cemburu hilang kepada pasangan hidup dengan alasan saling mempercayai satu sama lain, satu hari nanti ia pasti akan mengundang fitnah dan kerosakan rumah tangga. Seorang lelaki berdiri dan berkata, "Wahai Rasulullah sesungguhnya isteriku pergi haji, sedangkan aku telah diwajibkan ikut di dalam peperangan ini". Maka Baginda bersabda, "Pergilah berangkat haji bersama isterimu" - Sahih Bukhari (3006)
Seorang suami bukan sahaja harus mencemburui isterinya, malah isteri juga harus mencemburui suaminya. Demikian juga ibu bapa harus cemburu kepada anak-anaknya. Kecemburuan ini bersumberkan ikatan kasih sayang. Persoalannya, kasih sayang yang bagaimana? Sebagai contoh, tidak cukup sayangkan isteri kerana kecantikan rupa parasnya. Jika demikian, apabila kecantikan itu hilang dimamah usia maka akan pudar jugalah rasa cemburu suami terhadap isterinya. Sayang tidak akan kekal dan cemburu tidak akan berterusan jika diikat dengan sesuatu yang tidak abadi dan hakiki. Oleh kerana itu, sayang dan cemburu seorang suami atau bapa kepada isteri dan anaknya haruslah sampai ke pintu syurga.
Firman Allah Taala :
"Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh Para Malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan" - At Tahrim:6, Al Quranul Karim
Dalam melaksanakan perintah pemeliharaan ini maka ketua keluarga perlu memiliki sifat cemburu, dan cemburu itu juga mestilah kerana sayangkan hubungan kasih dan cinta kepada Allah, kerana Dia-lah sumber kasih sayang yang paling utama. Jangan tergadai ikatan kasih sayang kepada Allah dek terlalu sayangkan anak, isteri, harta benda dan lain-lain. Jika berlaku pertembungan cemburu atau cinta antara kepada Allah dan selainnya maka perhatikanlah firman Allah ini :
"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)" - At Taubah:24, Al Quranul Karim
Sifat cemburu mestilah dipandu dengan asas iman dan akal, bukan emosi semata-mata. Sikap cemburu jika berasas, itu adalah tanda iman. Namun cemburu tanpa berasas, itu adalah tanda penyakit hati.
Cemburu Sifat Orang Beriman, Tanda Sayang & Bukti Harga Diri
Cemburu itu tanda sayang, ia menjadi bumbu dalam hubungan kasih sayang. Tetapi, sayangilah apa jua asalkan ia dihubungkan kepada Allah Taala Yang Mempunyai Segala-galanya. Justeru, cemburulah apabila suami atau isteri mahupun anak yang menunjukkan tanda-tanda lalai dan melencong daripada landasan hidup sebagai orang yang dicintai Allah. Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya sifat cemburu itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci-Nya. Adapun sifat cemburu yang disukai Allah adalah kecemburuan pada hal-hal yang pasti, sedangkan yang dibenci olehNya adalah kecemburuan pada hal-hal yang tidak pasti (memiliki keraguan dan syak wasangka)" - Sunan An Nasa'ie (2558), Sunan Abi Daud (2659)
Sa'ad bin Ubadah R.A pernah menggambarkan perasaan marahnya di hadapan Para Sahabat jika dia mengetahui isterinya bergaul dengan lelaki lain. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, "Apakah kalian merasa hairan dengan kecemburuan Sa'ad? Sesungguhnya aku lebih cemburu jika dibandingkan dengannya, dan Allah lebih cemburu jika dibandingkan denganku. Kerana itu Allah melarang perbuatan keji, baik ia dilakukan secara terang mahupun secara sembunyi. Dan tiada sesiapapun yang suka memberi maaf lebih daripada Allah, dan kerana itu diutusNya orang-orang yang akan memberikan berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorangpun yang suka menerima pujian lebih daripada Allah, dan kerana itu (untuk orang memujiNya) dijanjikannya syurga" - [ rujuk Sahih Bukhari (6846), Sahih Muslim (6846) ].
Ketika salah seorang isteri Rasulullah S.A.W bernama Mariah Al Qibtiyyah mengandung, seorang kerabat lelakinya dari Mesir kerap datang menziarahi Mariah. Pada suatu hari, Rasulullah menemui Mariah dan melihat kerabat lelaki tersebut bersamanya. Rasulullah merasa cemburu sehingga terlihat warna kemarahan diwajahnya. Umar Al Khattab merasai perubahan sikap Rasulullah S.A.W itu, lantas Umar bertanya tentang keadaan Baginda S.A.W. Lalu Rasulullah menceritakan kecemburuannya terhadap kerabat Mariah yang kerap datang ke rumahnya.
Apabila mendengar keresahan Rasulullah S.A.W, Umar lantas menghunus pedang mencari lelaki itu, lantas lelaki dicarinya segera menuturkan bahawa dirinya telah dikembiri oleh raja. Umar tidak jadi mengancamnya dan terus menemui Rasulullah menceritakan hal sebenar. Rasulullah berkata kepada Umar, "Jibril telah datang kepadaku dan membebaskan Mariah dan saudaranya dari tuduhan yang terlintas pada diriku. Allah juga memberikanku khabar gembira bahawa aku bakal menimang cahaya mata lelaki, dan Allah memerintahkan kepadaku agar anak itu diberikan nama Ibrahim". [ rujuk Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatul Muttaqin, Ibnu Qayyim Jauziyyah, hal.296 ]
Sifat cemburu tidak terkecuali turut dimiliki oleh Umar Al Khattab, Sahabat RasuliLlah S.A.W yang terkenal dengan sifat tegas dan garang. Abdullah bin Umar R.A menceritakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Atikah binti Zaid, salah seorang isteri Umar Al Khattab, "Mengapa bonda tetap keluar solat Subuh dan Isya' ke masjid? Sedangkan bonda tahu bahawa ayah (Umar) tidak suka dan cemburu dengan perbuatan bonda?"
Lalu Atikah berkata, "Jika demikian, mengapa Umar tidak pernah menghambat dan melarangku?".
Abdullah bin Umar menjawab, "Ayah tidak melakukan demikian kerana Rasulullah S.A.W mengarahkan supaya jangan menghalang kaum wanita ke masjid". Dalam riwayat lain, Atikah berkata kepada Umar Al Khattab, "Demi Allah, dinda tidak akan berhenti pergi ke masjid sehinggalah kanda melarangku berbuat demikian" [ rujuk Fathul Bari syarah Sahih Bukhari, 3/34 ].
Diriwayatkan juga, Atikah mula berhenti pergi ke masjid setelah diganggu seorang lelaki di dalam perjalanannya.
Benar, suami tidak boleh terlalu menyekat isteri dari bergaul dengan orang sekeliling terutama berhubungan dengan keluarga dan rakan-rakan wanita yang solehah. Namun, suami wajib menegah isteri dari terlibat dengan hubungan yang dilarang agama seperti hubungan dengan lelaki yang bukan mahram tanpa ada keperluan, ataupun bergaul tidak tentu hala. Suami turut mempunyai hak menegah isteri dari terlibat dalam pergaulan sedemikian untuk menutup ruang kepada kemungkaran. Sabda Rasulullah S.A.W, "Allah itu pencemburu dan seorang Mukmin juga pencemburu, Kecemburuan Allah itu bila ada seorang hamba datang kepadaNya dengan perbuatan yang diharamkanNya" - Sahih Bukhari (4925), Sahih Muslim (2761). WAllahua'alam